Nilai, 17 Julai – “Perjuangan ISMA dan Aman Palestin dalam isu Palestin bukan semata-mata berkaitan sentimen kemanusiaan atau persaudaraan, tetapi adalah perjuangan untuk membebaskan Baitul Maqdis yang merupakan simbol aqidah umat Islam”, tegas Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.
“Selagi mana Baitul Maqdis belum lepas daripada cengkaman Zionis Israel, selagi itu kita tidak akan berhenti berjuang dan mengumpul tenaga untuk membebaskannya”.
Presiden ISMA dan Pengerusi Eksekutif Aman Palestin itu berkata demikian di hadapan kira-kira 3,000 orang yang hadir di Konsert Demimu Al-Aqsa yang diadakan di Stadium Tertutup Nilai di sini.
Konsert ini dianjurkan secara bersama oleh ISMA Cawangan Seremban, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Negeri Sembilan, Aman Palestin Berhad, Kelab Remaja ISMA (KRIM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ustaz Abdullah Zaik juga meluahkan perasaan gembira beliau atas sambutan memberangsangkan daripada orang ramai terhadap Konsert Demimu Al-Aqsa ini.
“Dalam masa empat tahun kebelakangan ini, sokongan masyarakat terhadap isu Palestin amat membanggakan. Jika dahulu program seperti ini mungkin sukar untuk dijayakan, tetapi kini hampir setiap surau dan masjid, hinggalah ke stadium dan PWTC sudah mendengar laungan tentang Palestin”.
“Walaupun jarak yang jauh serta bahasa dan budaya yang berbeza, tetapi kita yakin apa yang dilakukan ini akan memberi semangat kepada umat Palestin untuk terus berjuang”.
Menurut beliau lagi, konsert yang diadakan ini amat kena pada masanya sebagai peringatan kepada semua bahawa dalam kesibukan masyarakat dunia terhadap Gaza, Israel kini sedang rakus menghancurkan rumah-rumah di sekitar Baitul Maqdis dalam rangka mencapai cita-cita mereka untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa.
Dalam perkembangan yang sama, Ustaz Abdullah Zaik menyatakan bahawa Aman Palestin telah berjaya menghantar bantuan kemanusiaan bernilai lebih RM800,000 dalam tempoh dua bulan ini.
Beliau sendiri baru sahaja kembali daripada mengetuai satu misi kemanusiaan Aman Palestin yang telah berjaya menghantar bantuan ke Gaza melalui jalan darat di sempadan Rafah. Misi yang kedua akan dilancarkan dalam masa seminggu ini.
Oleh: Mohd Firdaus Sabturani,
Ketua Pengarang,
Media ISMA



0 Comments
You can be the first one to leave a comment.