Perkhemahan Musim Panas 2010 di Great Otway Walk, Victoria

Melbourne, 8 Dis - Seramai15 orang peserta telah berjaya menamatkan ekspedisi Great Ocean Walk sepanjang 32.5 kilometer. Ekspedisi ini berlangsung selama 3 hari bermula daripada 8 Disember 2009 sehingga 10 Disember 2009. Ekspedisi ini bermatlamat membentuk individu muslim yang lasak dan cekal serta kuat tubuh badan, di samping mengeratkan sillaturrahim dan ukhuwah antara peserta.

Ekspedisi kali ini memilih Great Otway Walk sebagai tempat bagi tempat untuk mencapai matlamat terbabit. Persekitarannya yang jarang-jarang diredah orang dan terpelihara keasliannya membuatkan lokasi terbabit sesuai untuk dijadikan medan program ini berlangsung. Selain daripada untuk mencapai matlamat program, peserta juga boleh disajikan dengan pemandangan unik dan asli yang menonjolkan kualiti sebenar alam flora Australia.

8 Disember 2009

Kami mula berkumpul pada 3 petang dan mula bergerak pada jam 4 petang. Sebuah kereta di hantar sejam lebih awal untuk ke camping-site di Blanket Bay. Tiga lagi kereta bertolak selepas itu. Setibanya sahaja di sana, kami membina khemah yang terletak berdekatan dengan pantai dan juga memasak BBQ untuk makan malam. Makan malam kami tepi pantai, dan peserta terus beradu di dalam khemah masing-masing setelah selesai solat jama’ isyak dan maghrib secara berjemaah.

Blanket Bay Hike-in Camp site.

9 Disember 2009

Sesudah solat subuh dan membaca mathurat bersama, juga bersarapan pagi, kami mempersiapkan barang-barang yang harus dibawa oleh setiap kabilah sepanjang trekking terbabit untuk digunakan di camping-site seterusnya. Secara purata, kira-kira setiap orang akan membawa barang dengan berat 10kg, ada yang lebih dan ada yang kurang daripada berat tersebut. Peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan berdasarkan nama-nama kabilah pada zaman Rasulullah s.a.w dan setiap kabilah bertanggungjawab untuk memandu kabilah lain pada tempat-tempat tertentu. Perjalanan dimulakan pada jam 10 pagi dengan bacaan doa, bermatlamat untuk sampai di Cape Otway pada pukul 1 petang  untuk makan tengah hari.

Peta perjalanan kami daripada timur ke barat.

Setelah melalui laluan hutan pantai selama 10.5 km, kami tiba di Cape Otway tepat pada jangkaan iaitu jam 1 petang. Di Cape Otway ini terdapat rumah cahaya api yang telah digunakan selama lebih daripada 100 tahun untuk memandu kapal-kapal yang melalui perairan tersebut. Di sini kami menjamu selera dengan nasi berlaukkan satu atau dua ketul sosej sahaja. Alangkah nikmatnya makanan yang sedikit dan simple buat kami pada ketika itu. Ibarat semua tenaga kami telah hilang dan itulah satu-satunya sumber untuk kami menjana kembali tenaga kami yang telah hilang tadi.

Peserta setelah berehat di Cape Otway.

Kami meneruskan perjalanan ke Aire River selepas itu dengan cahaya matahari masih terik di atas kepala, membakar kulit-kulit kami dengan bahangnya. Suhu mencapai lebih daripada 35 darjah Celcius. Namun perjalanan diteruskan untuk mencapai matlamat kami.  Perhentian seterusnya adalah di Station Beach (pantai yang hanya boleh dilalui oleh orang yang trekking sahaja, tiada kenderaan yang boleh sampai ke pantai ini). Di sini peserta berjalan di atas pantai yang menjangkau 2 kilometer, tanpa kehadiran orang lain kecuali kami. Terasa benar kesusahan dan keperitan hijrah kaum muharijin ke Madinah. Cuma mungkin kami lebih beruntung kerana tiada ribut pasir dan tiada bukit pasir untuk didaki. Di sini kami berehat seketika untuk melepaskan lelah dan bersolat jama‘ qasar zuhur dan asar. Sebahagian daripada peserta mengambil peluang untuk mandi di laut yang berombak besar (barangkali sesuai untuk surfing) sementara yang lain mengambil peluang untuk merehatkan badan. Perjalanan ke pantai itu dihiasi dengan aneka jenis ciptaan Ilahi yang sedap mata memandang. Di sini terdapat tumbuhan asli Australia yang unik begitu juga keindahan cerun dan batu-batuan pantai yang mengagumkan. Perjalanan di Station Beach diakhiri dengan pendakian cerun bukit menuju matlamat kami yang seterusnya.

Pemandangan daripada Cape Otway ke Station Beach.

Seterusnya perjalanan diteruskan ke destinasi terakhir pada hari tersebut iaitu ke Aire River, tempat perkhemahan kami pada malam terbabit. Ramai pelawat Australia turut berkhemah di situ bersama keluarga masing-masing. Kami mengambil tempat di West Aire River Drive-in camping-site. Waktu ketika ini adalah pada pukul 7.50 petang. Malam semakin menghampiri dan suhu semakin menurun. Kami terus bersiap dengan khemah dan juga menyediakan makan malam.

Di Aire River, kami berdepan dengan masalah ketiadaan bekalan air bersih untuk diminum. Jadi kami terpaksa mengambil air sungai Aire sebagai ganti. Suhu mula jatuh apabila malam menjelang dan peserta mula merasakan kesejukan mula mencucuk tulang. Khemah menjadi tempat berlindung.

Pemandangan ke tempat perkhemahan kami di Aire River.

Peserta menunaikan solat jama’ maghrib dan isyak, dengan sedikit kata-kata peringatan daripada Saudara Adha sebelum peserta menikmati makan malan. Kami membuat air teh daripada air sungai yang sedikit payau dan agak keruh itu sebagai minuman malam kami. Masakan istimewa pada malam tersebut adalah mackerel dalam tin, nasi dan juga sedikit sayur, cukup untuk mengembalikan tenaga yang hilang sebagai persediaan untuk hari esok. Pada malam terbabit setiap kabilah (kumpulan) mengambil giliran untuk memasak air untuk bekalan esok. Air teh Aire River akan menjadi bekal para peserta untuk keesokan hari. Peserta berehat seawal 10 malam untuk mendapatkan tenaga bagi meneruskan perjalanan keesokan hari. Cuaca yang sejuk menjadikan rehat para peserta lebih bermakna.

10 Disember 2009

Keesokan harinya,hari kami dimulakan dengan solat subuh bersama. Sesudah bersarapan pagi, kami bertolak seawal  jam 8 pagi untuk mengurangkan impak bahang matahari kepada perjalanan kami di samping untuk mengejar masa untuk sampai di destinasi terakhir perkhemahan iaitu Johanna Beach. Berbekalkan air teh Aire River, semua peserta masih tetap gagah melangkah sehinggalah sampai ke penghujungnya.

Kami sampai di destinasi terakhir iaitu Johanna Beach setelah melalui laluan menyelusuri laluan hutan dan juga tebing tinggi dengan pandangan yang indah yang hanya dapat dinikmati oleh pejalan-pejalan kaki. Laluan curam mendaki bukit menambahkan lagi cabaran untuk kami. Destinasi terakhir kami adalah di pesisiran pantai yang panjang (lebih kurang 2 kilometer).

Akhirnya, kami tiba ke destinasi terakhir pada pukul 1 tengah hari. Ketua rombongan, Saudara Zulfadli memberikan kata-kata penutup diiringi sedikit kata-kata hikmah daripada saudara Faiz Fuazi sebelum kami bertolak pulang.

Johanna Beach menuju ke lokasi terakhir.

Semoga, semua peserta dapat menghargai dan menghayati perkhemahan yang telah berlaku pada musim panas tahun 2010 untuk dijadikan sebagai tanda aras untuk menilai di mana kedudukan kita berbanding orang yang terdahulu daripada kita dalam menegakkan islam. Perkhemahan kali ini diharapkan dapat diingati sampai ke akhir hayat dan pengajarannya dapat diamalkan dengan istiqamah dalam diri kami semua. Tahniah kepada semua peserta.

Disediakan oleh:
Mohd Faiz Fuazi & Hairuladha Abdul Razak

Comments

3 Responses to “Perkhemahan Musim Panas 2010 di Great Otway Walk, Victoria”
  1. PC says:

    sapa yang anjurkan ni? seronok

  2. ZZ says:

    Trip ini amat menyeronokkan. mungkin kita boleh habiskan GOW trip ini di masa hadapan

  3. yoyo says:

    trip ini mencabar mental dan fizikal.. time summer dgn peak temperature boleh mencecah up to 40 degree celcius…. ape lg boleh menguji diri sendri.. insyaAllah worthwhile

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!