Perselisihan Fiqh Tidak Seharusnya Bawa Perpecahan

hasan-al-banna1

Krisis perselisihan pendapat dan pertembungan aliran-aliran pemikiran dalam agama yang memuncak baru-baru ini benar-benar menimbulkan kegusaran lantaran kesannya terhadap kesatuan umat Islam di negara ini. Selain meletakkan umat Islam di ambang perpecahan, senario ini turut mencalar imej agama ini di pandangan bangsa-bangsa lain. Justeru itu, segala perselisihan pendapat dan aliran pemikiran ini seharusnya ditangani dengan bijak dan mengikut lunas-lunas yang telah ditentukan oleh Islam.

Berkenaan sikap atau pendirian dalam menghadapi perselisihan fiqh ini, Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna telah menjelaskan kefahaman yang sebenar di dalam salah satu daripada Usul 20 atau 20 dasar kefahaman Islam yang dikarang beliau:

“Perselisihan fiqh dalam perkara furu’ (cabang) tidak sepatutnya menjadi sebab kepada perpecahan dalam agama dan tidak seharusnya membawa kepada perbalahan atau permusuhan. Setiap orang yang berijtihad ada pahalanya. Walau bagaimanapun tidak ada penghalang bagi melakukan kajian ilmiah dalam masalah-masalah yang diperselisihkan dalam suasana kasih sayang kerana Allah SWT. Serta kerjasama dalam menyampaikan kebenaran tanpa terbawa-bawa kepada pertengkaran yang dicela serta taksub.”

Perselisihan fiqh merupakan sesuatu yang pasti akan berlaku. Ia adalah sesuatu yang biasa dan timbul kesan daripada kepelbagaian latarbelakang manusia itu sendiri. Namun ramai orang telah tersilap dalam menentukan sikap yang sebenar dalam perkara ini sehingga menyebabkan perpecahan, perbalahan, permusuhan, taksub dan seterusnya melemahkan umat Islam. Umat Islam seharusnya mengambil pengajaran daripada generasi salafussoleh yang dididik oleh Rasulullah SAW. Mereka berselisih pendapat dalam perkara yang bersangkutan dengan cabang-cabang fiqh tetapi mereka tidak sesekali berpecah atau bermusuhan.

Berikut adalah petikan dari Berita Harian yang turut menyentuh permasalahan ini:

Perbezaan fiqh bukan kecacatan dalam agama

Seorang ahli akademik mengakui secara umumnya masyarakat di Malaysia beramal dengan mazhab Syafie dalam isu fiqh tetapi perkembangan mutakhir menunjukkan wujud pemakaian mazhab lain dalam beberapa cabang permasalahan.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekologi Sosial Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Zulkifly Muda, berkata sebagai contoh dalam isu zakat sudah banyak tidak mengikut mazhab Syafie seperti berzakat dengan nilai barang serta soal muamalat termasuk perbankan Islam yang nyata sukar jika diikat kepada mazhab Syafie.

Beliau berkata, fiqh perbezaan mazhab adalah bukti umat Islam di Malaysia terbuka dan boleh menerima satu-satu pendapat sekalipun bertentangan dengan mazhab Syafie jika kena dengan caranya.

Sementara itu katanya, menghimpun dan mencampuradukkan dua pendapat atau mazhab (talfiq) dalam satu masalah hingga melahirkan perlakuan daripada percantuman itu tidak sah kerana tidak diiktiraf setiap mazhab.

“Contohnya seorang yang mengambil wuduk hanya membasuh sebahagian kepala mengikut mazhab Syafie tetapi apabila bab membatalkan wuduk seperti menyentuh wanita tidak batal, mengikut mazhab Hanafi.

“Kemudian dia melakukan solat dan solatnya tidak sah kerana kedua-dua mazhab tidak mengiktiraf solat itu. Mazhab Hanafi mensyaratkan sapuan mesti satu perempat kepala sementara mazhab Syafie menyatakan batal wuduk apabila tersentuh lelaki dan perempuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Taqlid dan Kemunculan Talfiq dalam Tradisi Keilmuan Islam pada seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq: Skop Amalan dan Batasan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Seminar dua hari itu bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta kedudukan dalam Islam selain mengkaji ruang lingkup talfiq dan faktor yang mendorong kemunculannya.

Katanya, perbezaan fiqh bukan kecacatan dalam agama Islam tetapi rahmat Allah kepada hamba-Nya kerana hikmah wujudnya perbezaan pendapat itu dapat memperluaskan kaedah pengeluaran hukum daripada nas syariat.

Perbezaan itu juga adalah nikmat menjadikan umat Islam berada dalam kemudahan beragama dengan tidak membataskan kepada satu aplikasi hukum agama saja tanpa memiliki alternatif lain dalam menghasilkan keputusan yang menjaga kepentingan ummah.

“Perbezaan fiqh sebenarnya tidak dapat dihindari. Tidak ada satu sistem perundangan dimiliki umat manusia yang tidak menimbulkan perbezaan pandangan dalam usaha memahami serta menerapkannya dalam kehidupan harian mereka.

“Perbezaan mazhab fiqh berkaitan masalah ibadat, muamalat, kekeluargaan dan jenayah dilatari oleh perbahasan ilmiah. Oleh itu, perbezaan pandangan mengenai pelbagai perkara ini tidak dapat dielakkan.

“Perbezaan pandangan ini sebenarnya nikmat dalam beragama kerana jika ada keadaan dirasakan menyukarkan umat pada mazhab tertentu, maka boleh beralih kepada mazhab lain yang lebih ringan,” katanya.

Dr Zulkifly berkata, pengamalan ajaran Islam tanpa terikat dengan mazhab biasanya dilakukan secara matang dan setiap pandangan masih dalam lingkungan yang dikeluarkan mazhab menjadi pegangan umat Islam.

Oleh: Hasliza Hassan
Sumber: Berita Harian

Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!