Perutusan Presiden ISMA Sempena Awal Muharram 1431H

Assalamualaikum w.r.t. dan Salam Maal Hijrah.
Segala puji bagi Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarganya, para sahabatnya, para tabi’in dan muslimin yang mengikuti jejak mereka dengan ihsan.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Hari ini kita sebagai umat Islam sekali lagi menyambut detik 1 Muharram yang menandakan kedatangan tahun baru 1431 Hijrah. Ini bermakna usia kita semakin bertambah dan kian hampir menemui saat penghujungnya. Sama-sama kita panjatkan doa semoga Allah memberkati usia kita yang telah lalu dan yang akan datang.
Setiap tahun apabila tiba bulan Muharram kita akan mengenang peristiwa besar yang berlaku dalam rentetan sejarah Islam. Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dan kaum Muslimin dari Mekah ke Madinah al-Munawwarah yang telah menjadi batu tanda yang penting dalam episod perjuangan dakwah Baginda dan umat Islam. Perpindahan dari fasa lemah ke fasa Izzah, fasa Futuhat sehingga Islam seterusnya menguasai sepertiga dunia.
Peristiwa hijrah ini bukanlah berlaku secara kebetulan sebaliknya merupakan ketentuan Allah Yang Maha Bijaksana yang mentakdirkan kemunculan satu agama agung di akhir zaman untuk menamatkan kekuasaan Parsi dan Rom. Ia bermula dengan Baiah Aqobah, pembinaan Masjid Quba’ dan pengggubalan Sahifah al-Madinah. Dan yang paling gemilang peristiwa ‘muakhah’ mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj serta Ansar dan Muhajirin. Tiga kaum penting yang telah disatukan dengan sekuat-kuat pertalian iaitu pertalian aqidah yang dikukuhkan dengan pertalian rahim. Kaum yang gagah berani yang sanggup mempersembahkan apa sahaja demi kemuliaan Islam.
“Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.” (Al-Anfaal: 74)
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum Muslimin bukanlah pengusiran atau kekalahan seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak, sebaliknya satu strategi besar yang telah menggagalkan perancangan kaum Quraisy untuk menguburkan dakwah di tempat lahirnya. Keluarnya Baginda dari Mekah bererti terlepaslah peluang kaum Quraisy dan perkembangan ini sangat ditakuti mereka kerana masa depan dakwah kini telah terlepas daripada genggaman mereka.
Setiap tindakan Rasulullah s.a.w. bermula dengan pembinaan masjid sebagai pusat pentadbiran dan komuniti, mempersaudarakan antara Ansar dan Muhajirin serta menjadikan mereka seperti adik-beradik, memeterai Piagam Madinah serta mempunyai madlulnya yang strategik untuk jangka masa panjang. Semua ini boleh kita sifatkan sebagai persiapan tersusun untuk memacu suatu era kegemilangan dan mengubah perjalanan sejarah manusia.
Inilah yang dikehendaki oleh Allah untuk agama yang mulia ini, iaitu memimpin manusia dengan hidayah Allah. Itu adalah amanah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk dipikul oleh kita sebagai generasi umat Islam selepasnya.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Kini kita telah mensia-siakan amanah ini, Islam telah dihina, kekuasaan telah terlepas ke tangan musuh, berapa banyak bumi umat Islam yang masih dijajah, musuh dengan rakus merobek jasad umat Islam. Tidak perlu saya menyebutkan kesemuanya di sini.
Saya menyeru seluruh umat Islam untuk bertaubat kerana telah mensia-siakan amanah ini. Kita telah menjadi umat yang tidak boleh diharap. Marilah kita bertaubat dan kembali kepada Islam, serta bersatu di atas tali Allah. Dengan itu sahaja kita akan dapat menebus dosa-dosa kita yang hanya mengundang aib ke muka kita. Saya menyeru umat Islam di Malaysia khususnya bangsa saya bangsa Melayu untuk bertaubat dan kembali kepada Islam.
Mari kita perbetulkan diri dan syakhsiah kita. Tinggalkan segala sifat yang menghilangkan kelayakan kita sebagai bangsa pemimipin. Sedarlah bahawa musuh sememangnya mahu kita menjadi begitu. Bangunlah dari mimpi, bangkitlah dari penipuan dan tipu daya musuh. Baliklah kepada akar budaya kita yakni Islam. Usahlah kita terpedaya dengan pujian musuh apatah lagi memperjuangkan agenda mereka. Saya tahu diri kita suka dipuji dan mudah teracun dengan pujian. Percayalah, musuh mustahil akan menjanjikan kebaikan untuk kita. Justeru itu, fahamilah bahawa hanya Islam sebagai satu-satunya penyelesaian.
Muslimin muslimat yang dirahmati Allah,
Hari ini kita amat berhajat kepada perpaduan berbanding hari-hari sebelumnya. Sebagaimana apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj serta Ansar dan Muhajirin. Ia telah memberi kekuatan sebenar dan menjadi titik ‘intilaq’ kepada cetusan sejarah yang sangat hebat. Kita hanya perlu memahami isu kita dari muntolaq yang betul, muntolaq sejarah dan akar keperibadian kita.
Sempena Maal Hijrah dan tahun baru ini adalah masa yang tepat untuk kita memperbaiki mana yang silap. Menggilap segala aset dan potensi yang ada dalam diri kita. Sesunggungnya Allah Maha Mengasihi hamba-hambaNya yang bertaubat. Berhijrahlah daripada yang tidak baik kepada yang baik, daripada yang baik kepada lebih baik. Sesungguhnya kita adalah umat terbaik.
Salam Muharram dan ingatan ikhlas daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) sempena Sambutan Maal Hijrah 1431H dan Tahun Baru 2010.

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman
Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Blog: Perjalananku


