Sebiru Hari Ini
Sekali sebulan, kami dari BIJAK-ISMA akan kongsikan sebuah artikel berkenaan sesuatu perkara menarik yang dipelajari oleh para pelajar di bumi Australia ini. Untuk membaca artikel-artikel lain di dalam siri ini, sila klik di sini. Antara artikel yang telah diterbitkan ialah “Ada Apa dengan Farmasi” dan “Australia dan Rahsia Keunikannya”.
___________________________________________________________________________________
Mentari tersenyum memancar cahayanya, langit membiru mendamaikan, burung-burung beterbangan mencari rezeki, awan-awan lembut berarak pergi, dan bunga-bunga ceria mengembangkan kuntumnya. Tatkala mentari melambai pergi, langit menjingga merah menenangkan jiwa, burung-burung beterbangan membawa pulang rezki, awan-awan lembut masih lagi berarak pergi, dan bunga-bunga ceria menguncup kembali. SubahanAllah, begitu indahnya ciptaan Ilahi!
Pernahkah anda terfikir, tatkala memandang langit, mengapakah ianya berwarna biru pada siang hari, dan berwarna jingga kemerahan pada awal pagi dan petangnya, dan hitam pula pada malamnya?
Atmosfera dan cahaya matahari
Untuk menjawab persoalan ini, kita perlu mengetahui serba sedikit mengenai atmosfera kita dan cahaya. Atmosfera kita terdiri daripada gabungan beberapa molekul-molekul gas dan elemen-elemen lain yang menyelaputi bumi. Antaranya ialah gas nitrogen (78%), oksigen (21%), gas argon, wap air, habuk dan asap, garam yang tersejat daripada lautan dan lain-lain lagi. Atmosfera kita akan semakin tumpat jika semakin menghampiri bumi dan semakin kurang tumpat jika menghampiri angkasa lepas.
Kita melihat cahaya matahari berwarna putih, namun sebenarnya cahaya matahari terdiri daripada gabungan spektrum warna yang mempunyai panjang gelombang (wavelength), frekuensi dan tenaga yang berbeza-beza. Warna biru mempunyai panjang gelombang yang terpendek (380nm), manakala merah pula adalah yang terpanjang (720nm).
Rajah 1- Panjang gelombang spectrum cahaya
Jadi kenapa langit itu biru?
Kesemua cahaya boleh diserap oleh molekul-molekul di atmosfera, tetapi warna biru yang mempunyai gelombang terpendek lebih diserap berbanding warna merah yang mempunyai panjang gelombang terpanjang. Proses ini dikenali sebagai serakan Rayleigh (Rayleigh scattering). Kebanyakan cahaya biru yang diserap oleh molekul-molekul gas di atmosfera kita ini akan disebarkan ke setiap penjuru langit. Disebabkan itulah, ke arah mana pun kita melihat langit, langit tetap berwarna biru.
Rajah 2- Cahaya matahari diserakkan kepada warna biru
Mengapa pula langit berwarna jingga kemerahan?
Semasa kita melihat ke arah matahari semasa matahari terbit dan terbenam, kita akan melihat warna jingga kemerahan mewarnai langit lebih daripada warna biru. Hal ini kerana cahaya matahari perlu bergerak lebih jauh untuk sampai ke atmosfera bumi. Cahaya yang mempunyai panjang gelombang yang pendek (biru) akan lebih diserakkan. Maka, cahaya yang mempunyai panjang gelombang yang panjang (merah, jingga) saja akan sampai kepada kita. Justeru, kita akan dapat melihat langit bewarna jingga kemerahan.
Rajah 3- Cahaya matahari yang sampai ke bumi melalui atmosfera semasa matahari
terbit, tengahari dan terbenam.
Mengapa pula langit berwarna warna hitam?
Jika kita berada di luar bumi, misalnya di bulan, kita akan melihat langit itu berwarna hitam dan gelap, dan bukannya biru. Hal ini kerana di luar sana tiadanya atmosfera yang akan menyerakkan cahaya. Justeru itu tiada serakan cahaya yang akan sampai ke mata kita.
Jika kita berada di bumi, keadaannya juga sama pada malam hari, iaitu tiada cahaya matahari yang diserakkan walaupun dengan kehadiran atmosfera. Jadi langit akan kelihatan gelap dan hitam.
Tanggungjawab kita
Betapa beruntungnya kita dikurniakan Allah pancaindera dan akal untuk berfikir dan menghargai segala nikmat pemberian-Nya. Langit yang tinggi dan boleh berubah warna mengikut ketentuan yang ditetapkan Allah adalah salah satu bukti kebesaran dan kekuasaan-Nya.Sebagai tanda kesyukuran kepada-Nya, kita seharusnya berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak terus-menerus melakukan pencemaran dan aktiviti-aktiviti yang membolehkan kondisi atmosfera kita teganggu. Jika atmosfera kita tercemar, kemungkinan besar pada zaman akan datang kita atau genarasi akan datang tidak lagi dapat menikmati keindahan alam sentuhan Illahi; Sebiru Hari Ini.
Wallahu a’lam.
“Sesungguhnya, pada penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia; Maha suci Engkau, lindungilah kami daripada azab api neraka.” [ali-‘imran,3:190-191]
Rujukan-rujukan:
- http://www.sciencemadesimple.com/sky_blue.html
- http://math.ucr.edu/home/baez/physics/General/BlueSky/blue_sky.html
- http://hyperphysics.phy-astr.gsu.edu/Hbase/atmos/blusky.html
- http://cct.rncan.gc.ca/resource/tutor/fundam/chapter1/04_e.php
- http://files.myopera.com/ShinoW/albums/537642/1600×1200_Blue_Sky_Flowers_HM053_35.jpg
- http://www.gamonline.com/new/catalog/colortheory/images/spectrum.gif
Oleh:
Fatin Aqilah Muhammad Fadzil
B.Science (Physics)
Monash University







artikel ni sgt menarik… langit kat australia slalunya clear dan biru, tak byk sgt awan… amik gambar sgt lawa… skang baru faham nape warnanya biru
=) indahnya dan sempurnanya ciptaan Allah..subhanallah.