Takbir Malam Aidiladha Bergema di Adelaide
Nailsworth, 26 Nov. – Bagi memenuhi tuntutan ibadah sunat pada bulan Zulhijjah kali ini, komuniti Melayu di Adelaide, khususnya mereka yang tinggal di sekitar Broadview mengadakan majlis takbir raya beramai-ramai. Majlis kali ini diadakan di kediaman SQ.
Seusai solat isya’ berjemaah, majlis takbir dimulakan dengan dikendalikan oleh saudara Ahmad Muslim. Pada akhir majlis, saudara Muslim menyeru agar laungan takbir, tahmid dan tasbih tidak luput dalam hati sanubari setiap individu bergama Islam yang patuh pada perintah-Nya sebagai tanda memuji dan mensyukuri segala nikmat pemberian-Nya yang tidak pernah putus-putus.
Sebelum majlis bersurai, saudara Muslim memberi peluang kepada hadirin untuk membuat apa-apa pengumuman. Selain pengumuman majlis walimah dan kenduri kesyukuran perkahwinan di Malaysia kelak, hadirin dijemput untuk menghadiri majlis rumah terbuka di rumah saudara Safwan pada hari raya kedua Aidiladha bermula jam 9 hingga 5 petang di kediaman beliau di Klemzig.
Selain itu, hadirin turut dialu-alukan untuk hadir ke majlis gotong-royong melapah 15 ekor kambing korban di kediaman saudara Umar Faruq, juga pada hari raya kedua. Majlis melapah dan korban ini dianjurkan bersama oleh majoriti orang-orang Melayu di Adelaide. Keesokan harinya akan diadakan majlis jamuan hari raya korban, juga di lokasi yang sama.
ISMA Australia mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam di Australia.

