Welcoming BBQ ISMA-SA Meriah

Adelaide, 28 Feb – Lebih 100 pelajar dan keluarga Malaysia di Adelaide menghadiri ‘Welcoming BBQ’ di Marshmallow Park anjuran ISMA Australia dengan kerjasama MyPSA (Malaysian Postgraduate Student Association) bagi menyambut kedatangan pelajar-pelajar baru ke Adelaide baru-baru ini.

Majlis telah dimulakan pada jam 11 pagi di Marshmallow Park. Kesempatan berkumpul beramai-ramai ini digunakan sepenuhnya oleh para hadirin untuk berkenalan mesra sambil menjamah makanan seperti ayam bakar, sosej, dan daging bakar yang telah disediakan pihak penganjur. Tambah meriah, para hadirin turut sama membawa juadah untuk dikongsi bersama.

Majlis tersebut disempurnakan dengan ucapan alu-aluan ketua ISMA SA Saudara Umar Faruq Shamsuddin dan pengerusi MyPSA Dr Kamarul Arifin.

Dalam ucapannya, Umar Faruq mengalu-alukan kehadiran warga baru Adelaide dan mengharapkan hubungan sesama masyarakat muslim Malaysia di sini terjalin erat dan sentiasa berkekalan.

Dr Kamarul Arifin juga turut mengalu-alukan kehadiran para penuntut universiti Adelaide yang baru. Di samping itu, beliau mewakili postgraduates tidak teragak-agak untuk menjalinkan sebarang kerjasama melalui perkongsian ilmu dan pengalaman dengan golongan muda undergraduates.

Turut sama dalam majlis adalah Mohd Omar Mohtar; Pengerusi Islamic Student Society of University of Adelaide (ISSUA) dan Mohd Munir Omar; Pengerusi Malaysian Student’s Council of Australia (MASCA).

Pertandingan mewarna kanak-kanak juga telah diadakan untuk menghiburkan kumpulan anak-anak yang hadir. Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Dr Farrah Nadia Najib, ketua wanita ISMA-SA.

Akhir kata, ISMA SA dan MyPSA berharap majlis ini telah menjadi batu lonjakan bagi kesemua pelajar baru dan lama untuk sama-sama mengeratkan lagi silaturrahim dalam membentuk satu komuniti Malaysia di South Australia yang utuh.

Media ISMA Australia
Cawangan South Australia


Speak Your Mind

Tell us what you're thinking...
and oh, if you want a pic to show with your comment, go get a gravatar!